KULIAH 3 MINIT: RAMADAN YANG
DINANTI-NANTIKAN
Marilah kita ucapkan “Ahlan wa
sahlan Ya Ramadan”; Selamat datang wahai Ramadan, bulan yang penuh dengan
kerahmatan, keampunan dan keberkatan. Rasulullah dan para sahabat
menunggu-nunggu kehadiran bulan Ramadan. Demikian juga dengan Salaf al-Saleh.
Mereka amat merindui Ramadan bahkan mereka menanti-nanti kedatangan Ramadan
sejak dari bulan Safar lagi. Jika Ramadan bukan bulan yang amat istimewa, sudah
tentu mereka tidak akan menanti-nanti kedatangannya. Terlalu banyak tawaran
yang ditawarkan oleh Allah dalam bulan Ramadan. Pahala berganda dan keampunan
Allah terbuka luas. Ubadah bin Samit r.a meriwayatkan bahawa pada suatu hari
ketika Ramadan hampir tiba Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Telah datang kepadamu bulan
Ramadan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan,
menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu.
(HR Tabrani)
Inilah tawaran yang cukup
hebat disebabkan bulan Ramadan yang mulia ini. Bulan yang membawa sejuta
rahmat, keampunan dan mudahnya doa dimakbulkan serta berbagai-bagai lagi
tawaran Allah sempena Ramadan. Justeru, sekiranya manusia tahu akan kelebihan
bulan Ramadan ini, sudah tentulah mereka akan mengharapkan sepanjang tahun
adalah Ramadan. Inilah bulan untuk mengaut keuntungan pahala yang berlipat
ganda, sebagai bekalan di akhirat nanti, bulan untuk meningkatkan lagi amal
ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Amat malang jika kedatangan bulan
Ramadan tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya atau dipersia-siakan. Oleh
itu, jauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Jagalah penglihatan,
pendengaran dan peliharalah lidah daripada melakukan perkara perkara keji dan
haram. Perbaikilah akhlak dan tingkah laku di bulan puasa. Hormatilah bulan Ramadan
seperti kita menghormati tetamu yang mulia. Jangan cemarkan kesucian bulan Ramadan
seperti tidak berpuasa atau makan di khalayak ramai. Ingatlah, jika sehari kita
meninggalkan puasa di bulan Ramadan, kita tidak dapat menebusnya kembali
walaupun berpuasa sepanjang tahun.
Sempena dengan kedatangan
Ramadan pada tahun ini, marilah kita merebut peluang keemasan ini dengan menjadikan
seluruh kehidupan kita sebagai ibadat kerana ganjaran pahala dan upahnya amat
besar. Kalaulah kita diumpamakan sebagai seorang pekerja dan ditawarkan dengan
upahnya yang lumayan, sudah tentu pekerja itu tidak akan melepaskan peluang
yang ada. Dia pasti akan bekerja bersungguh-sungguh. Oleh itu, jadilah pekerja
yang beruntung.
Mudah-mudahan Allah menyirami
hati kita dengan nur hidayah sehingga menjadikan hati-hati kita amat merindui
dan mencintai Ramadan. Jika belum terdetik sedikitpun perasaan itu di dalam
hati kita, maka mohonlah kepada Allah dengan keberkatan Ramadan supaya Allah pancarkan
nur hidayah-Nya untuk mencintai Ramadan.